"Cahaya Hati"

Sunday 6 April 2014

'Cerita Cinta Ahmad Ammar'




Masa pantas berlalu, sekian lama blog ini tidak dijenguk. Kekangan masa serta kesibukan sebagai pelajar telah menyebabkan blog ini kian dilupakan oleh pemiliknya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana hari ini saya berkesempatan untuk berkongsi sedikit pengalaman mengenai sebuah buku yang telah saya baca dan saya anggap sangat memberi inspirasi kepada jiwa dan hati yang membacanya. 'Cerita Cinta Ahmad Ammar' sebuah buku yang mengisahkan perjalanan anak muda yang telah syahid ketika menuntut ilmu di bumi Turki. Pertama kali mata ini menatap bait-bait tulisannya, air mata tidak henti-henti menitis. Sungguh... ianya benar-benar terkesan di hati ini. Perwatakan remaja ini telah berjaya membuka hati pembaca memuhasabah dan merenung diri sendiri. Diri ini terasa begitu kerdil Ya Allah. Kecekalan hati dan semangat yang ditunjukkan oleh Ahmad Ammar dalam menuntut ilmu sehingga syahid di bumi Turki pada usia yang masih muda iaitu 20 tahun ini menggambarkan betapa pengakhiran hidup yang begitu mulia dianugerahkan oleh Allah kepadanya walaupun selepas kematiannya. Istimewanya Ammar ini, apabila beliau telah disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan yang menghadap Laut Golden Horn yang mana ia menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya', panglima uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki. Hal ini menyedarkan saya betapa Allah mengangkat darjat seseorang yang berjihad dan mengembara menuntut ilmu itu di tempat yang begitu mulia di sisi-Nya. Maka berbahagialah insan yang bernama ibu bapa dikurniakan seorang anak yang begitu baik tingkah laku dan perwatakannya ini. Semoga melalui penerbitan buku tentang perjalanan hidup arwah Ammar ini mampu memberi inspirasi dan menjadi contoh kepada semua pembaca dalam membentuk keperibadian yang mulia dan tingkah laku yang baik serta terpuji. Amin..

No comments:

Post a Comment